Wednesday, June 15, 2011

sejenak.......................

Artikel dipetik daripada buku Smart Heart tulisan Rusdin S. Rauf dan diterbitkan oleh PTS Millenia

Apabila malam mulai menjelang, kebanyakan manusia tertidur lena. Namun, pada masa itu, manusia-manusia langit tidak pernah tidur. Mereka tertunduk di hadapan Allah. Esak tangis mengisi malam-malam mereka. Mereka mengharapkan kasih sayang daripada yang maha penyayang. Allah reda kepada mereka, mereka juga reda kepada Allah. Malaikat-malaikat dan seluruh penghuni langit terpesona melihat mereka. Para malaikat sentiasa mendoakan kebahagiaan, ketenangan, syurga dan semua keindahan di dunia dan akhirat untuk mereka. Begitulah ga,baran orang-orang soleh yang mendekatkan diri dengan Tuhannya pada penghujung malam.

Kebanyakan orang tua mengherdik anak-anaknya yang menangis, terutamanya anak lelaki. Pada mereka, menangis menunjukkan kelemahan seseorang. Paradigma itu perlu diubah. Menangis adalah antara cara terbaik melembutkan hati kita. Contohnya adalah tangisam orang yang mencari keredaan Tuhannya pada malam hari.

Menangis yang bagaimanakah yang digalakkan Nabi Muhammad? Menangis lantaran bahagia, terharu, takut dan rindu kepada Allah, dan menangis kerana menyesali segala dosa serta menangis bagi memohon perubahan diri kepada Allah (perubahan rezeki, perubahan suasana rumah tangga dan yang lain-lain ke arah yang lebih baik).

Nabi Muhammad berkata,

"Tidak ada yang lebih dicintai Allah selain dua titis dan dua bekas kaki. Titisan air mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan titisan darah yang dipancarkan di jalan Allah. Manakala dua bekas kaki adalah bekas perjuangan di jalan Allah dan bekas melakukan kewajipan yang diwajibkan Allah." Hadis ini direkodkan oleh Tirmidzi daripada kitab Riyadhus Shalihin hadis 10/456.

Dalam hadis lain, Nabi Muhammad menegaskan,

"Air mata itu bukti rasa kasih sayang yang ditanamkan oleh Allah di hati hamba-hambaNya. Sesungguhnya, Allah menyayangi hamba-hambaNya yang penyayang." Hadis ini direkodkan oleh Bukhari dan Muslim.

Allah menyifatkan orang-orang yang bertaubat dengan,

"Dan mereka tersungkur atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah kusyuk." Surah al-Isra, ayat 109.

Orang yang banyak menangis, hatinya bertambah khusyuk. Kekhusyukan itu selalu meliputi semua aktiviti kehidupannya. Apabila bersolat, solatnya semakin khusyuk. Apabila bekerja, dia bekerja dengan penuh konsentrasi.

Bagaimana pula dengan kita yang sukar menitiskan air mata? Antara cara yang efektif, seperti yang banyak dilakukan Nabi Muhammad dan para sahabat adalah, menggunakan masa yang tepat, iaitu pada keheningan malam. Sekitar sepertiga malam.

Banyak cerita berkenaan orang-orang soleh yang menghabiskan malamnya dengan bermunajat. Misalnya, Salahuddin al-Ayubi, orang yang membebaskan masjid al-Aqsa daripada kaum Nasrani. Dia seorang hamba Allah yang sangat tekun. Dia selalu menunaikan solat tahajut pada sepertiga malam. Dia suka mendengar bacaan al-Quran. Dia seorang yang memiliki hati yang khusyuk dan mengalirkan air mata dengan deras. (Abdullah Ulwan, Salahuddin al-Ayubi)

Contoh yang lain adalah susuk Umar bin al-Khattab yang terkenal sebagai musuh. Seperti yang diceritakan Ibnu al-Jauzi dalam at-Tabshirah daripada kitab al-Muwatha', pada wajah Umar ada dua garis hitam seperti tali kerana banyaknya menangis. Padahal, umar adalah seorang yang memiliki peribadi yang keras. Pernah suatu malam, semasa membaca wirid atau membaca sebaris ayat, dia menangis sampai terjatuh. Dia terus berada di rumahnya sehingga orang lain menyangka dia sedang sakit. Oleh sebab itu, menangislah! Menangislah bagi mencapai keredaan Allah. Semoga tangisan anda itu bernilai ibadah di sisi Allah.

No comments:

Post a Comment